MENTERI Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (tengah) bersalaman bersama hadirin pada Majlis Pelancaran Perluasan Bas Muafakat Johor untuk Daerah Muar di Maharani Uptown. – Foto Adi Safri

 

MUAR: Seramai 245 pelajar dari keluarga kurang berkemampuan menerima bantuan Tabung Pendidikan Sarjana Permodalan Darul Takzim berjumlah RM1.2 juta bagi membantu mereka melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah sarjana di universiti awam (UA) pada tahun ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata menerusi tabung itu, setiap pelajar menerima wang tunai sebanyak RM5,000 bagi membantu menampung kos perbelanjaan mereka.

“Program ini kita sudah mulakan pada tahun lalu dan ia diteruskan lagi pada tahun ini kerana 245 penerima ini dalam bidang (pengajian) yang kita rasa perlu untuk Johor (pembangunan),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan lawatan kerja ke Parlimen Bakri di sini, hari ini.

Terdahulu, Mohamed Khaled turut menghadiri Program Jalinan Tani Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Naning di Kampung Parit Tengah.

Sementara itu, Ketua Eksekutif PDT, Lukman Abu Bakar, berkata tabung pendidikan terbabit ditubuhkan bagi membantu pelajar menyambung pelajaran di peringkat ijazah sarjana.

“Pada tahun ini, seramai 245 pelajar layak menerima bantuan pendidikan ini dengan keutamaan diberikan kepada anak Johor dan pendapatan keluarga di bawah RM4,000.

“Permohonan ini dibuka secara talian pada Februari lalu. Bantuan ini terbuka kepada pelajar yang mengikuti sarjana di UA dalam pelbagai bidang pengajian dan kita tidak menetapkan sebarang had umur untuk memohonnya,” katanya.