PDT.jpg

JOHOR BAHRU, 22 Mac – Kerajaan Negeri melalui Permodalan Darul Ta’zim (PDT) dengan kerjasama Yayasan Pelajaran Johor (YPJ) menyediakan bantuan RM10,000 bagi anak Johor yang sedang menjalani program Ijazah Sarjana di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di seluruh negara.

Bantuan menerusi Tabung Pendidikan PDT peringkat sarjana itu merupakan salah satu inisiatif di bawah Bajet Johor 2016 dalam usaha membangunkan modal insan di negeri itu.

Ia melibatkan peruntukan sebanyak RM300,000 yang akan diberikan kepada 30 mahasiswa yang layak.

Ketika mengumumkan bajet Johor tahun lalu, Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin mengingatkan bahawa perkembangan dunia masa kini menuntut rakyat untuk terus meneroka ilmu pengetahuan di peringkat yang lebih tinggi.

“Sesungguhnya dalam dunia hari ini, memiliki segulung ijazah sudah tidak memadai. Sebaliknya, ilmu harus diteroka ke peringkat yang setinggi mungkin kerana orientasi ekonomi dan persekitaran kita yang berasaskan ilmu dan teknologi.

“Atas kesedaran ini, Tabung Pendidikan PDT akan menyumbang sebanyak RM10,000 seorang kepada 30 mahasiswa yang mengikuti program Ijazah Sarjana,” katanya.

Bagi mereka yang ingin memohon, syarat-syarat kelayakan dan borang permohonan boleh dimuat turun melalui laman sesawang www.ypj.gov.my sehingga 25 Mac ini atau hubungi Unit Bantuan Pendidikan YPJ di talian 07-2344355.

Sumber : http://jauhar.my/tabung-pendidikan-pdt-sedia-bantuan-peringkat-sarjana-rm10000/